Kerajaan Kelantan Kesal Ada Pihak Perlekeh Usahanya Bantu Pulau Pinang
KOTA BHARU, 6 Nov (Bernama) -- Tindakan pihak tertentu yang memperlekehkan usaha kerajaan Kelantan menyalurkan bantuan segera sebanyak RM50,000 kepada Pulau Pinang yang dilanda musibah banjir, amat dikesali.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Kelantan bukannya mewah seperti negeri-negeri lain dan bantuan yang dihulurkan itu adalah mengikut kemampuannya.
"Dalam Islam, kalau mahu sedekah, berilah ikut kemampuan. Kita beri setakat termampu, lebih baik sedikit daripada tak memberi langsung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 (Kajian Semula) di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Selain sumbangan segera RM50,000 itu, kerajaan negeri turut menghantar sukarelawan bagi menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan dinegeri itu.
Bagaimanapun usaha kerajaan Kelantan itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk ada yang memperlekeh tindakan itu dengan membandingkan bantuan lebih RM1 juta disalurkan oleh Kerajaan Pulau Pinang kepada Kelantan ketika negeri tersebut dilanda banjir besar pada 2014.
Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 1 meter berikutan hujan lebat berterusan Sabtu lepas sehingga paras air sungai meningkat dan bertembung dengan kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.
Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri itu telah meragut tujuh nyawa.
-- BERNAMA