3,500 Anggota Polis Siap Siaga Bantu Mangsa Banjir Di Utara

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Sejumlah 3,500 anggota polis kini diletakkan dalam keadaan bersiap siaga bagi memberikan bantuan sekiranya keadaan banjir di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia menjadi semakin buruk, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah.
Zulkifli berkata buat masa ini, 187 anggota antaranya daripada Polis Simpanan Persekutuan, Pasukan Gerakan Udara dan Pasukan Gerakan Am telah ditempatkan di Pulau Pinang bagi membantu mangsa banjir.
"Jumlah itu (187 anggota) tidak termasuk kekuatan sedia ada di Pulau Pinang. Selain itu, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga terlibat dalam membantu mangsa banjir.
Sekiranya diperlukan, polis akan menggunakan aset udara untuk membantu memindahkan mangsa banjir serta menyalurkan bantuan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Chuah Ghee Lye yang bertindak sebagai komander operasi telah diminta untuk menyelaraskan bentuk bantuan kecemasan bersama agensi lain.
"Pusat kawalan beroperasi selama 24 jam untuk memantau situasi dan fokus utama adalah untuk tentukan keselamatan serta nyawa mangsa banjir.
Anggota polis juga akan membuat rondaan terhadap rumah yang ditinggalkan bagi memastikan keadaan rumah selamat, saya ingin ingatkan supaya orang ramai ikut nasihat polis dan segera berpindah sekiranya diminta berbuat demikian," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata sebanyak 10 kereta peronda polis dan beberapa motosikal dianggarkan bernilai lebih RM600,000 mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir di Pulau Pinang dan Kedah.
"Kita masih menjalankan penilaian jumlah kerosakan serta aset yang dialami kerana kenderaan-kenderaan ini penting untuk digunakan dalam operasi semasa dan pilihan raya yang akan datang, " katanya.
Hampir keseluruhan Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak pukul 2 petang Khamis yang turut menumbangkan puluhan pokok. Hingga kini, banjir di Pulau Pinang meragut tujuh nyawa.
Di Kedah pula, sejumlah 2,614 mangsa banjir ditempatkan di lebih 20 pusat pemindahan banjir di Kedah, membabitkan 748 buah keluarga dari daerah Yan, Kuala Muda dan Kulim sehingga 3 petang tadi.
-- BERNAMA