Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Nyatoh Mati Ditikam
SEREMBAN, 6 Nov (Bernama) -- Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Nyatoh, Norhaidi Mat Yusop, meninggal dunia dipercayai ditikam seorang anggota keluarganya dalam pergaduhan di rumah ibu mereka di Taman Bunga Sejati, Rantau, dekat sini, kira-kira 7.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh berkata polis menerima maklumat pertama kira-kira pukul 8.05 pagi mengenai kejadian seorang lelaki mengamuk di lokasi berkenaan.
"Dalam kejadian itu, jiran yang terdengar kekecohan itu terus bergegas ke tempat kejadian dan menangkap suspek berumur 31 tahun dan merampas senjata iaitu sebilah pisau serta sebatang besi penggali tanah.
"Suspek lelaki yang merupakan penganggur, telah menikam mangsa yang berumur 40 tahun pada bahagian belakang badan dengan pisau di halaman rumah," katanya.
Beliau berkata mangsa yang cedera parah terus dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan disahkan meninggal dunia semasa sedang terima rawatan.
Thiew berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, jiran kepada ibu mangsa, G. Yuvarajah, 21, berkata ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terdengar bunyi bising dan jeritan dari rumah ibu mangsa dan dia kemudian bergegas keluar untuk melihat keadaan tersebut.
"Apabila berada di luar rumah saya lihat mangsa sudah berlumuran darah sambil berlari kerana dikejar suspek yang memegang penyodok besi.
"Saya turut berlari untuk mendapatkan mereka, namun saya melihat mangsa sudah terbaring di atas jalan manakala suspek berjaya diberkas orang ramai," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Yuvarajah berkata, dia difahamkan suspek tinggal bersama ibunya di rumah berkenaan manakala mangsa yang sudah berkahwin tinggal bersama keluarga di kawasan berhampiran.
"Mangsa sebelum itu dikatakan telah menghantar anaknya untuk dijaga ibu mereka, sebelum berlakunya pergaduhan tersebut.
"Bagaimanapun, punca pergaduhan saya tidak tahu. Saya tidak mengenali mereka secara dekat kerana baru lima bulan tinggal di sini," katanya.
-- BERNAMA