Skuad Puteri UMNO Bantu Mangsa Banjir Pulau Pinang





KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Lima puluh anggota Puteri UMNO dari Kuala Lumpur akan ke Pulau Pinang untuk membantu mangsa banjir di negeri tersebut.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata 12 kenderaan yang membawa, antara lain, bahan kering, bahan masakan dan bantuan persekolahan akan dihantar ke beberapa lokasi yang terjejas dengan banjir seperti di kawasan Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.

"Sukarelawan ini akan menyertai kira-kira 600 yang lain yang telah turun dari Perak untuk bergabung dengan kekuatan Puteri di Pulau Pinang sendiri," katanya.

Skuad Puteri UMNO itu juga akan ke Kedah untuk membantu mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terlibat.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata hujan lebat dan air pasang pada Sabtu menjadi punca banjir terburuk sejak 20 tahun lalu di Pulau Pinang, sekaligus menyebabkan air hujan bertakung di seluruh daerah dan kawasan di negeri itu.

Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan di empat daerah di Pulau Pinang menunjukkan penurunan sedikit pagi ini iaitu 6,080 orang melibatkan 1,572 keluarga berbanding malam tadi seramai 6,243 mangsa daripada 1,588 keluarga.

-- BERNAMA