Azmin Didesak Nyatakan Harga Ditawarkan Untuk Ambil Alih Splash
SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didesak menyatakan harga ditawarkan kerajaan negeri bagi mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) untuk mempercepatkan proses pembelian itu.
Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak daripada Barisan Nasional ((BN) yang membuat desakan itu berkata tindakan Mohamed Azmin yang cuba meletakkan kesalahan ke atas kerajaan Persekutuan berhubung kelewatan urusan pengambilalihan itu amat mengecewakan.
"Ketika disoal mengenai perkara ini di DUN (Dewan Undangan Negeri) menteri besar gagal kemuka jawapan sebaliknya berdolak-dalik dengan menyalahkan kerajaan Persekutuan tidak dedahkan nilai untuk ditawar kepada Splash seperti yang dicadangkan penilai bebas, Syarikat Deloitte.
"Penilaian oleh Deloitte hanya untuk rujukan kerajaan Persekutuan sahaja dan sepatutnya kerajaan negeri kena maklumkan harga ditawar untuk beli Splash kerana penstrukturan semula industri air dibuat bukan atas arahan kerajaan Persekutuan tetapi atas kehendak kerajaan negeri sebagai balasan meluluskan projek Langat 2," katanya dalam sidang media di lobi DUN di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam proses rundingan pengambilalihan itu, kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hanya bertindak sebagai pemudahcara.
Sulaiman berkata jika kerajaan negeri menyatakan harga yang ditawarkan untuk urusan pembelian Splash dan nilai itu berpatutan, tiada sebab untuk kerajaan Persekutuan tidak bersetuju dan isu itu akan dapat dimuktamadkan dengan segera.
"Ketika pentadbiran bekas menteri besar Selangor sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri menawarkan harga pengambilalihan Splash tidak lebih RM9 bilion kerana menurut Abdul Khalid jika lebih daripada jumlah itu ia akan menyebabkan tarif air di Selangor naik.
"Jadi saya yakin, isu pengambilalihan ini tertangguh sehingga kini disebabkan nilai yang ditawarkan kerajaan negeri di bawah Mohamed Azmin agak tinggi dan kita lihat sikap dolak dalik beliau ini akhirnya akan merugikan rakyat Selangor," katanya.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dalam satu kenyataan menyatakan urusan pemerolehan Splash oleh kerajaan Selangor belum selesai dan negeri itu belum menawarkan sebarang harga bagi proses pengambilalihannya.
Terdahulu ketika menjawab soalan Sulaiman berhubung perkara itu pada sidang DUN, Mohamed Azmin dilihat cuba berdolak dalik dengan mempersoalkan tindakan kerajaan Persekutuan yang enggan mendedahkan harga tawaran pembelian Splash seperti dicadangkan Deloitte.
Menurut Mohamed Azmin, pihaknya telah menulis surat kepada KeTTHA bagi mendapatkan pengesahan berhubung nilai munasabah untuk ditawarkan kepada Splash berdasarkan penilaian itu, namun sehingga kini kementerian berkenaan masih belum memberi maklum balas.
-- BERNAMA