Pemuda BN Tubuh Jawatankuasa Kumpul Input Draf Manifesto BN
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Pemuda Barisan Nasional (BN) bakal menubuhkan jawatankuasa khas bagi mendapatkan pandangan dan input golongan muda untuk disenaraikan sebagai cadangan draf manifesto BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata jawatankuasa yang akan diketuai Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairul Azwan Harun itu bakal mengambil pandangan sayap Pemuda parti-parti komponen BN di peringkat akar umbi.
Katanya pandangan golongan muda penting kerana pengundi muda merupakan antara segmen terpenting yang harus diberi fokus dalam memenangi PRU14.
"Pemuda BN telah bersetuju supaya dalam masa sebulan dua ini jawatankuasa ini akan ditubuhkan. Jawatankuasa ini bakal melakukan sumbang saran dalam memberi fokus kepada kemahuan dan aspirasi pengundi muda.
"Cadangan ini kemudian akan dibawa kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Pemuda BN kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU14 akan datang dalam usaha membantu BN mencapai kemenangan.
Katanya persiapan dengan kerjasama parti komponen BN lain juga merangkumi persiapan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
-- BERNAMA