Pihak Sengaja Ingin Jejaskan Kredibiliti Kerajaan Sabah - Pemuda Umno
KOTA KINABALU, 7 Nov (Bernama) -- Pihak ingin menjejaskan kredibiliti kerajaan Sabah telah silap memilih isu apabila memberikan gambaran palsu terhadap pengurusan hutan negeri dengan menularkan dakwaan tidak berasas rakaman video sederetan lori treler membawa muatan balak di Jalan Sapulut-Kalabakan, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia Datuk Amrizan Mohd Ali.
Amrizan yang juga ketua Pemuda UMNO Papar dalam kenyataan hari ini berkata pihak tidak bertanggungjawab itu ternyata sengaja melakukan perkara tersebut sedangkan mereka sendiri mengetahui lori berkenaan berhenti di kawasan Stesen Jabatan Perhutanan untuk menjalani pemeriksaan.
"Lori-lori treler dalam video itu membawa muatan balak dikeluarkan daripada kawasan Kalabakan dan Keningau melalui aktiviti pembalakan sah. Sebahagiannya sedang ditahan dan disaman kerana kesalahan prosedur pengangkutan termasuk lebih muatan dan saiz tidak menepati had ditetapkan.
"Sewajarnya, pihak berkenaan mengalu-alukan tindakan itu kerana terbukti pihak penguat kuasa melaksanakan tanggungjawab dengan tegas. Bagaimanapun, mereka memilih untuk berkongsi cerita rekaan tanpa fakta tepat tentang keadaan yang sedang berlaku dalam video berkenaan," katanya.
Amrizan berkata gerakan menularkan dakwaan tidak berasas itu juga jelas ingin menjejaskan kredibiliti pemimpin kerajaan negeri Sabah, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum ke-14.
Beliau berkata, pengurusan khazanah hutan di Sabah pada hari ini telah melalui proses transformasi amat membanggakan apabila menjadi antara terbaik di Malaysia selain turut mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara.
"Selain itu, Sabah mempunyai kawasan hutan yang cukup luas dan sejumlah 52 peratus keluasan Sabah telah digazet sebagai hutan simpan, kadar tertinggi di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA