BN Padang Serai Bantu Bersihkan Rumah Mangsa Banjir




KULIM, 7 Nov ( Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Padang Serai akan membantu mangsa banjir di kawasan Merbau Pulas untuk membersihkan rumah mereka dan keperluan lain yang diperlukan, kata Pengerusinya Asmadi Abu Talib.

"Setakat ini pelbagai bantuan telah disumbangkan parti kepada mangsa untuk memenuhi keperluan mereka sepanjang ditimpa musibah ini,"katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Surau Al Jadidah, Kampung Baru di Merbau Pulas , di sini, hari ini.

Menurutnya sebanyak 31 mangsa banjir daripada enam keluarga di surau itu telah menerima tilam sumbangan MCA.

Sementara itu, Badul Ismail ,67, berkata rumahnya dinaiki air sedalam lebih satu meter pada Sabtu lepas menyebabkan semua barang dalam rumahnya rosak teruk.

"Saya tak jangka banjir akan berlaku selepas empat tahun kawasan ini tidak dilanda banjir. Air naik dengan mendadak dan sedar-sedar, seluruh rumah sudah dimasuki air," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Ida Maz Ayu Idris, 41, pula bersyukur kerana semua keperluan disediakan di pusat pemindahan itu.

"Saya berpindah ke sini sejak Sabtu lalu, Alhamdulillah bantuan makanan, selimut dan ubat-ubatan disediakan pelbagai pihak untuk keperluan mangsa di sini dan sumbangan diterima kami tidak putus-putus," katanya.

-- BERNAMA