Semua Universiti Awam Laksana Sistem Pendigitalan Pertengahan 2018





KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama)-- Semua universiti awam di negara ini akan melaksanakan sistem pendigitalan menjelang pertengahan 2018, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata majoriti universiti sudah melaksanakan aplikasi digital seperti tanpa tunai dan kod QR untuk memastikan ketulenan sijil-sijil yang dikeluarkan.

"Ini bukan sahaja akan membawa universiti-universiti ke arah revolusi digital tetapi juga mencegah pengunaan dokumen-dokumen palsu,"katanya selepas melancarkan Hari Jepun 2017 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Universiti Utara Malaysia (UUM) ialah universiti pertama melaksanakan sistem Kod QR sejak 2015 untuk mengelakkan individu menggunakan sijil palsu.

"Apa yang diperlukan majkan ialah mengimbas kod QR pada sijil untuk mengesahkan ketulenannya. Semua aplikasi dibangunkan sendiri oleh sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di universiti-universiti tempatan."

Idris berkata institusi pengajian tinggi Malaysia boleh belajar daripada Jepun, terutamanya dalam aspek kejuruteraan dan teknologi.

"Kita perlu belajar dan mengamalkan budaya kerja mereka, teknologi dan lain-lain lagi untuk membolehkan kita lebih maju dan menjadi negara berjaya,"katanya.

Sementara itu, Duta Besar Jepun di Malaysia, Makio Miyagawa berkata Jepun merupakan antara rakan lama Malaysia dengan 60 tahun hubungan diplomatik.

"Kami telah mewujudkan lebih 400,000 kerja dalam sektor perindustrian dan teknologi dengan lebih 2,500 syarikat besar dan kecil beroperasi di sini,"katanya.

Kini terdapat lebih 8,000 penuntut Malaysia melanjutkan pelajaran di Jepun.

-- BERNAMA