DUN Sarawak Lulus RUU Majlis Penyelidikan Dan Pembangunan 2017
KUCHING, 9 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak 2017 diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bagi penubuhan sebuah badan statutori khusus untuk menyelia promosi, penyelarasan dan pengembangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawakr Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak akan ditubuhkan untuk memberi sokongan, menentukan hala tuju, merangsang dan mempermudahkan R&D di Sarawak.
"Negara-negara di seluruh dunia sudah menubuhkan majlis dengan objektif untuk mengenal pasti keperluan penyelidikan negara dan strategi bagi memastikan R&D dilaksanakan untuk faedah rakyat dan pertumbuhan ekonominya.
"Di Malaysia, R&D dilakukan oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan, swasta dan institusi awam dengan jenis dan skop ditentukan oleh organisasi masing-masing, dengan itu wujud kebimbangan bahawa usaha penyelidikan itu tidak diselaraskan," katanya semasa membentangkan RUU itu pada persidangan DUN di sini, hari ini.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk menyelaras, melindungi dan mengkormersialkan harta intelek negeri, untuk menarik pelaburan daripada kerajaan dan swasta untuk menyediakan dorongan dan dana bagi kerja penyelidikan.
Manyin berkata majlis itu akan diketuai Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg dan akan mempunyai tidak kurang daripada enam atau tidak lebih daripada 12 anggota lain, terdiri daripada inividu yang mempunyai kewibawaan dan pengalaman dalam bidang R&D.
"Satu panel penasihat terdiri daripada kalangan profesional daripada pelbagai disiplin dalam sains, teknologi dan sosiologi atau pembangunan modal insan dan perlindungan harta intelek juga akan ditubuhkan untuk membantu majlis itu dalam membuat keputusan," katanya.
Katanya majlis yang dicadangkan itu juga akan mempunyai kuasa untuk memeterai perjanjian kerjasama termasuk peruntukan kewangan, dengan mana-mana industri, institusi pendidikan atau institusi penyelidikan untuk menggalakkan, mempermudahkan dan memajukan R&D atau permohonan komersial bagi sebarang dapatan, penemuan dan harta intelek, hasil daripada R&D.
Majlis itu juga diberi kuasa untuk menyediakan hala tuju dan sokongan kewangan bagi mana-mana R&D dijalankan oleh mana-mana jabatan kerajaan, badan statutori atau syarikat atau perbadanan milik kerajaan, katanya.
Manyin berkata ia juga boleh menubuhkan atau menyertai dalam penubuhan mana-mana syarikat atau mana-mana kerjasama bagi tujuan R&D; menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi tujuan untuk menentukan hala tuju strategik bagi mana-mana penyelidikan khusus atau bagi permohonan komersial bagi mana-mana dapatan, penemuan dan inovasi.
Majlis itu juga boleh meluluskan lesen bagi penggunaan atau permohonan komersial untuk hakmilik mana-mana harta intelek.
-- BERNAMA