UMNO Hantar Pasukan Perubatan Bantu Mangsa Banjir Di Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Biro Kebajikan UMNO Malaysia hari ini menghantar pasukan perubatan dan bantuan untuk mangsa banjir di Pulau Pinang, kata Pengerusi Biro Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata fokus pasukan itu bagi merawat pesakit yang mungkin terkena penyakit bawaan banjir seperti kolera, cirit-birit, demam, keracunan makanan selain turut memberi keutamaan kepada pesakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.
"Pasukan kami akan ke kawasan utama seperti Kepala Batas, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Nibong Tebal, Tasik Gelugor, Jelutong dan beberapa tempat lain dalam memberikan rawatan selain menyampaikan kit bantuan harian seperti selimut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Pasukan Perubatan Biro itu Dr Muhamad Akmal Salleh sebelum melepaskan konvoi pasukan perubatan yang akan berada di Pulau Pinang sehingga Ahad.
Shamsul yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata pihaknya telah berbincang dengan Badan Perhubungan UMNO negeri bagi mengenal pasti mangsa yang memerlukan bantuan segera bagi memudahkan program dilaksanakan.
Beliau menjelaskan bahawa ini kali ketiga pihaknya ke sana selain pada 5 Nov dan 7 Nov lepas bagi menghantar bantuan melalui Program UMNO Bantu Rakyat dalam mendekati pihak yang memerlukan pertolongan dari segi keperluan asas dan bantuan lain.
Shamsul berkata dianggarkan kira-kira 6,000 keluarga akan menerima bantuan melalui program itu yang melibatkan seramai 1,000 orang terdiri daripada jentera parti yang akan bekerjasama dengan agensi kerajaan di negeri itu bagi memastikan bantuan sampai terus kepada mangsa.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal Salleh berkata pihaknya akan memberi rawatan segera kepada mangsa banjir yang tidak dapat ke klinik dan hospital berikutan kesukaran kawasan rumah masih ditenggelami air dan dokumen peribadi terjejas akibat musibah itu.
-- BERNAMA