Sidang DUN Sarawak Pilih Dr. Nuing Jeluing Jadi Senator




KUCHING, 9 Nov (Bernama) -- Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr. Nuing Jeluing dipilih sebagai Senator Dewan Negara bagi mengganti Datuk Lihan Jok yang berakhir tempoh perkhidmatannya pada 7 Dis tahun lepas.

Dr Nuing, dari Miri memperoleh 69 undi berbanding pesaingnya Nicholas Bawin Anggat yang hanya memperoleh 10 undi dalam pengundian yang diadakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Pencalonan Nuing dicadangkan oleh Menteri Kemudahan Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan disokong Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol sementara pencalonan Nicholas dicadang pengerusi PKR Negeri Sarawak, Baru Bian dan disokong pengerusi DAP negeri, Cong Chieng Jen.

Nuing merupakan bekas ketua pegawai perubatan Shell Malaysia Berhad selain pernah berkhidmat di hospital kerajaan sejak tahun 1996, manakala Nicholas merupakan aktivis tanah hak adat Bumiputera di Sarawak dan bekas timbalan presiden Majlis Adat Istiadat.

-- BERNAMA