Pemuda UMNO Cadang Peruntukan Diberi Terus Kepada Pejabat Pendidikan Negeri
TENOM, 10 Nov (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mencadangkan supaya peruntukan RM1 billion yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2018 bagi membiayai kerja baik pulih sekolah daif di Sabah diserahkan terus kepada pejabat pendidikan negeri.
Ketua Penerangan parti itu Jamawi Jaafar berkata pejabat pendidikan negeri seterusnya perlu memberi kuasa mutlak kepada pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi pelaksanaannya kerana kaedah itu lebih berkesan memandangkan PPD lebih memahami dan mengetahui sasaran pada peringkat bawahan.
"Kita menyambut baik peruntukan yang besar ini dan mengharapkan ianya sampai ke akar umbi. ...Mekanisma (pelaksanaannya) harus dipercepatkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata peruntukan perlu lebih banyak diberikan kepada sekolah daif di kawasan pedalaman Sabah dan skopnya mencakupi penyediaan kelas pembelajaran lebih kondusif dan selamat kepada pelajar dan guru semasa proses pembelajaran.
Sementara itu rata-rata ibu bapa di kawasan pedalaman mencadangkan agihan peruntukan itu digunakan untuk membaik pulih infrastruktur sekolah daif di kawasan luar bandar, termasuk penyediaan kelas, pejabat serta rumah guru.
Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Meninipir di Tenom, Keningau Saypudin Maidin pula berkata selain kelas, bangunan sekolah yang sudah uzur juga perlu diambil perhatian. Justeru, beliau berharap sekolah uzur di Tenom akan mendapat agihan daripada peruntukan besar itu.
Sementara itu, seorang aktivis masyarakat di Keningau Rosanna Edeza berkata perhatian juga perlu diberikan kepada masalah lain seperti jalan raya dan jambatan.
Beliau juga mahu supaya talian komunikasi disediakan untuk kemudahan guru yang bertugas di kawasan pedalaman seperti di SK Babalitan, Pensiangan serta kawasan sekitarnya.
"Cadangan ini bagi memberi kesamarataan kepada pelajar serta guru di luar bandar dengan pelajar dan guru yang bertugas di kawasan pekan atau bandar," katanya.
-- BERNAMA