ADUN BN Sarawak Sokong Pindaan Kanun Tanah Negeri




KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak bersetuju sepenuhnya supaya Kanun Tanah Sarawak dipinda, dan bukan seperti yang didakwa oleh pihak serta individu tertentu dalam media sosial, kata pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Paulus Palu Gumbang.

Paulus berkata bantahan oleh 50 Anggotan Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN terhadap Rang Undang-undang persendirian yang dicadangkan oleh Baru Bian (PKR-Ba'kelalan) semalam disebabkan Rang Undang-undang itu melanggari Perintah Tetap.

Katanya pindaan yang diperkenalkan oleh Baru itu hanyalah untuk meminda satu seksyen daripada kanun tanah, iaitu Seksyen 2, tanpa memberi pertimbangan kepada seksyen lain Kanun Tanah Sarawak yang juga relevan.

Paulus berkata ketua menteri telah menyatakan komitmen dalam isu ini, yang dapat dilihat menerusi penubuhan Pasukan Petugas diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

"Seperti yang kita maklum, kerajaan negeri telah pun menubuhkan Pasukan Petugas untuk meneliti pindaan yang menyeluruh dan holistik terhadap Kanun Tanah Negeri.

Sehubungan itu, kita seharusnya memberi masa yang cukup kepada Pasukan Petugas Khas ini untuk menyiapkan tugas mereka dan memberi cadangan lanjut, terutamanya ke atas seksyen yang relevan untuk dipinda," katanya pada persidangan media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Semalam, Baru mengemukakan usul supaya pindaan dilakukan terhadap Kanun Tanah Sarawak bagi mengiktiraf Pulau Galau Pemakai Menua atau rizab hutan bersama.

Usul itu dibantah oleh 50 ADUN daripada BN manakala 10 ADUN daripada Pakatan Harapan menyokong Rang Undang-undang itu.

Berikutan penolakan usul itu, ADUN daripada BN didakwa menolak pindaan kanun tanah itu seperti yang viral dalam media sosial.

-- BERNAMA