180 Permohonan Sijil Lahir Lewat Didaftarkan Di Mahkamah Bergerak





BELURAN, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak 180 permohonan daftar lewat surat lahir penduduk di sekitar Kampung Matangal Paitan berjaya didaftarkan dan mendapat keizinan mahkamah untuk memperoleh siji lahir menerusi program Mahkamah Bergerak selama dua hari berakhir semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Martin Idang berkata program Mahkamah Bergerak telah dilaksanakan di negeri ini sejak 2007 hasil inisiatif Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.

Katanya tumpuan program itu adalah di kawasan luar bandar berikutan banyak masalah daftar lewat sijil lahir berlaku di kawasan itu disebabkan kurangnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa.

Menurutnya menerusi program itu, Majistret akan mendengar setiap kes daftar lewat sijil lahir sebelum memberi keizinan untuk permohonan diluluskan dan terus diproses oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang turut serta dalam program itu.

Katanya program berkenaan adalah kali keempat dilaksanakan di kawasan daerah kecil Paitan pada tahun ini yang penduduknya masih ramai berhadapan dengan daftar lewat sijil lahir dan kad pengenalan.

Tiga program sebelum ini diadakan di Kampung Pinangkau sebanyak dua kali dan di Pulau Jambongan, katanya ketika ditemui pada program itu yang turut dihadiri Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Dalam pada itu, Martin berkata pada program kali ini, pihaknya turut membawa delegasi daripada hakim Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat, pegawai dari Jabatan Polis New York dan Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Katanya mereka hadir atas jemputan Mahkamah Sabah dan Sarawak untuk melihat sendiri pelaksanaan Mahkamah Bergerak.

"Mereka menghargai usaha Mahkamah Sabah dan Sarawak sanggup turun padang bagi membantu ibu bapa di kawasan pedalaman yang menghadapi pendaftaran lewat sijil lahir anak mereka," katanya.

Sementara itu, Kiandee menyifatkan pelaksanaan Mahkamah Bergerak adalah penting dalam menangani masalah daftar lewat sijil lahir bagi penduduk di kawasan pedalaman.

Katanya di kawasan Parlimen Beluran, masalah pendaftaran lewat sijil lahir masih banyak dihadapi ibu bapa di kawasan luar bandar yang disebabkan kesukaran mereka untuk hadir mendaftarkan kelahiran anak mereka mengikut tempoh yang ditetapkan oleh JPN.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berharap program itu akan terus dilaksanakan sehingga masalah daftar lewat sijil lahir ini diatasi sepenuhnya di kawasan pedalaman di negeri ini.

-- BERNAMA