Kejayaan UTAR Bukti MCA Beri Kaum Cina Pendidikan Terbaik
KAMPAR, 11 Nov (Bernama) -- Kejayaan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) meraih pencapaian peringkat antarabangsa membuktikan MCA komited dalam aspek pembangunan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi melahirkan graduan terbaik dalam kalangan masyarakat Cina.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pencapaian membanggakan UTAR termasuk berjaya menduduki ranking dunia ke-14 dalam senarai Young University yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2017 baru-baru ini.
"Kita bangga dengan kejayaan UTAR yang telah menghasilkan lebih 210,000 graduan dan kita akan pertingkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang lebih baik," katanya.
Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival MCA Teguh Bersama dengan masyarakat Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Thung Hon Tanjung Tualang di sini, hari ini.
Selain itu, Liow berkata UTAR telah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) bersama dua universiti terkemuka dari luar negara iaitu Universiti Beijing, China dan Universiti Tsing Hua, Taiwan untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di universiti itu.
Dalam pada itu, Liow menyeru komuniti Cina agar menolak pembangkang dan memberi sokongan padu kepada MCA yang merupakan komponen Barisan Nasional supaya isu-isu dihadapi kaum itu dapat diselesaikan segera di peringkat atasan.
Katanya kaum Cina kini juga dilihat sudah sedar bahawa wakil rakyat pembangkang yang dipilih pada pilihan raya umum lepas gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
"Oleh itu penting buat kita pastikan MCA diberikan mandat dan kekuatan untuk bawa komuniti Cina bersama meniti ke arus pembangunan negara," katanya.
-- BERNAMA