Mahasiswa Digesa Pegang Prinsip '3J' Untuk Pastikan Negara Bebas Rasuah
KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad meminta agar golongan mahasiswa sentiasa memegang prinsip '3J' (Jangan Hulur, Jangan Kautim, Jangan 'Settle') untuk memastikan negara bebas rasuah menjelang 2050.
Beliau berkata perkara itu penting kerana golongan mahasiswa pada masa kini merupakan calon pemimpin yang akan memastikan masa depan negara.
"Golongan mahasiswa pada masa kini yang akan menjadi ketua dalam pelbagai sektor awam atau swasta pada 2050 dan kita akan pastikan mereka bebas rasuah dan salah guna kuasa.
"Oleh itu golongan mahasiswa perlu sentiasa memegang dan melaungkan prinsip 3J agar gejala rasuah dan salah guna kuasa di negara ini dapat dibanteras," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa 2.0 Borneo (PEMARAH) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.
Beliau berkata program itu bertujuan menjadikan golongan mahasiswa sebagai ejen pengubah dan pendukung kepada perjuangan memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
"Golongan tersebut perlu mempunyai ilmu dan mampu berfikir secara matang serta efektif dalam gerak kerja mereka. Apabila SPRM diserang, golongan anak muda mahasiswa perlu teguh berdiri bersama-sama kami," katanya.
Dzulkifli berkata mengikut kajian yang dibuat oleh SPRM terhadap 1,000 mahasiswa pada tahun lepas, sebanyak 16 peratus daripada merekamahu menerima rasuah dan 18.5 peratus pula mahu menerima rasuah sekiranya tidak dikenakan tindakan.
"Mengikut hasil kajian ia agak membimbangkan. Oleh itu kita akan teruskan program untuk mendekati para mahasiswa. Program PEMARAH ini adalah kali kedua selepas diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai pada baru-baru ini.
"Selepas ini kita akan melaksanakan program PEMARAH di Sarawak pada minggu depan," katanya.
Pada masa yang sama, Dzulkifli berkata SPRM akan melaksanakan satu program melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah pada tahun depan dalam usaha membanteras rasuah bermula dari sekolah.
-- BERNAMA