Kerajaan Kelantan Disaran Ambil Inisiatif Proaktif Tarik Pelaburan

KOTA BHARU, 11 Nov (Bernama) -- Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra menyarankan kerajaan Kelantan supaya mengambil inisiatif yang proaktif bagi menarik pelaburan ke negeri ini.
Tengku Muhammad Faiz bertitah baginda sendiri telah terlibat dalam kunjungan misi pelaburan kerajaan negeri ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu, dan Tokyo, Jepun, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi menarik pelabur meneroka pelaburan di Kelantan.
"Beta berharap kerajaan negeri dapat berusaha untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh pelabur dari kedua-dua negara ini demi pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan yang lebih positif," titah baginda pada Istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang, pingat, surat kepujian dan pelantikan Jaksa Pendamai bersempena ulang tahun ke-48 Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang juga Yang di-Pertuan Agong.
Pada istiadat yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini, hari ini Tengku Muhammad Faiz berkenan menyampaikan kurniaan tersebut kepada 624 penerima yang didahului oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat Left Jen Datuk Azizan Md Delin.
Azizan merupakan penerima tunggal bagi Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.
Bagi menyokong keperluan infrastruktur pengangkutan di negeri ini, baginda berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi kerjasama terbaik kepada kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas.
Baginda juga menyarankan agar kerajaan Persekutuan menyegerakan pelaksanaan projek lebuh raya lingkaran tengah di negeri ini dan projek lebuh raya pantai timur fasa tiga bagi menghubungkan lebuh raya itu yang telah siap di Terengganu, sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Baginda juga berharap Program Penghijauan Diraja yang melibatkan penanaman pokok di tebing sungai untuk mengelakkan hakisan, dapat dikembangkan ke kawasan bandar untuk mewujudkan persekitaran bandar yang hijau dan mesra alam.
Turut hadir pada istiadat tersebut ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.
Sementara itu, Jurufotografi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Zahari Abdul Razak yang dikurniakan Pingat Bakti (PB) antara enam pengamal media di negeri ini yang dikurniakan pingat dan bintang pada istiadat tersebut.
-- BERNAMA