Bajet Johor: Golongan Sasar Termasuk Ibu Tunggal Terus Diberi Perhatian
JOHOR BAHRU, 11 Nov (Bernama) -- Bajet Negeri Johor 2018 yang akan dibentang 23 Nov ini diyakini terus mensejahterakan golongan sasar seperti ibu tunggal, golongan berpendapatan rendah dan orang kurang upaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Asiah Md Ariff berkata di bawah portfolionya terdapat beberapa titik sentuhan yang akan diumum oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada pembentangan bajet berkenaan.
"Kerajaan Johor akan memberi bantuan kepada golongan sasar terutama ibu tunggal yang berpendapatan rendah dan juga orang kelainan upaya supaya mereka tahu bahawa pihak kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada mereka.
"Di bawah portfolio saya terdapat beberapa titik sentuhan yang akan diumum, kita tunggu selanjutnya pada hari pembentangan itu nanti," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (MKMNJ), di sini hari ini.
Asiah berkata kerajaan negeri dalam masa yang sama turut komited memperkasa golongan wanita di samping memberi pengiktirafan terhadap sumbangan golongan tersebut.
Mengenai sambutan hari keluarga MKMNJ terbabit, Asiah berkata ia dilihat dapat mencapai hasrat kerajaan negeri dalam melaksanakan program yang mampu mengeratkan perpaduan.
Hari keluarga berkenaan disertai 25 badan bukan kerajaan dan sukarelawan termasuk Persatuan Orang Pekak Johor yang dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk larian 'fun run' dan sukaneka.
Katanya kerajaan negeri memperuntukan RM1.5 juta kepada badan sukarelawan di negeri ini untuk melaksanakan program seperti sambutan hari keluarga itu.
-- BERNAMA