Jadikan Kejayaan PRK Teluk Intan 2014 Model Perangi Pembangkang
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Semua anggota Pemuda dan Wanita Gerakan diminta meningkatkan kesiapsiagaan dan menjadikan kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 2014 sebagai model untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Presiden Gerakan Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata PRK itu merupakan bukti terbaik bahawa tidak mustahil untuk BN mencapai kemenangan apabila semua pihak bersatu hati dalam memastikan matlamat tercapai.
"Sebarang perbezaan harus diketepikan dan saya mengulangi bahawa PRK Teluk Intan merupakan contoh terbaik bahawa segalanya bukan mustahil jika kita kekal bersatu padu dan memberi sumbangan terbaik.
"Oleh itu, di sini saya ingin mencabar saudara-saudari agar memastikan parti kita memenangi balik kerusi yang dirampas pembangkang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Nasional Pemuda dan Wanita Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.
PRK Teluk Intan yang diadakan pada Mei 2014 itu menyaksikan BN merampas semula kerusi daripada DAP apabila Presiden Gerakan merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.
Cheah seterusnya berkata Gerakan perlu memainkan peranan penting dalam suasana politik semasa, lebih-lebih lagi dalam mematahkan tuduhan dan penipuan pembangkang.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan DAP sebuah parti rasis, tidak berprinsip dan sanggup bekerjasama dengan parti pembangkang lain yang sebelum ini diselarnya, hanya semata-mata kerana kepentingan politik.
Pada sidang media kemudian, Cheah menggesa orang ramai supaya tidak terperdaya dengan penipuan pembangkang dan berjanji bahawa Gerakan akan menepis berita palsu yang disebarkan pembangkang untuk menjatuhkan BN.
Beliau berkata Gerakan terbukti mempunyai rekod prestasi yang baik dalam mentadbir Pulau Pinang selama lebih tiga dekad.
"Kebenaran akan terungkai. Kami memerintah Pulau Pinang selama 39 tahun dan berjaya (menjalankan tugas). Kami mempunyai rekod bersih dan terbukti bahawa di bawah kepimpinan Gerakan, banyak pelabur masuk. Kami mendengar luahan rakyat," katanya.
-- BERNAMA