Kerajaan Sarawak Jamin Bantu Pembangunan Perkampungan Melayu Di Limbang
LIMBANG, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak akan memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan proses penyukatan serta pemberian surat hak milik tanah perkampungan Melayu di Limbang.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan daripada kerajaan Persekutuan itu dapat melancarkan lagi proses penyukatan tanah sekaligus membolehkan komuniti Melayu di Limbang terlibat dalam program pembangunan yang dirancang nanti.
"Kita akan berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan," katanya di majlis sambutan ulang tahun ke-70 Persatuan Melayu Limbang (PML) di sini hari ini.
Abang Johari berkata kerajaan negeri mahu PML membantu dalam usaha mempercepatkan proses penyukatan tanah dan pemberian surat hak milik dengan mencari jalan untuk mengurangkan pertikaian hak milik tanah semasa proses penyukatan dilakukan.
Beliau berkata jika proses penyukatan dan pemberian surat hak milik tanah berjalan lancar, komuniti Melayu di Limbang tidak akan tersisih daripada cadangan mewujudkan bandar satelit dari perkampungan Melayu sehingga seberang sungai Limbang.
Menurut Abang Johari jika berjaya dilaksanakan, ia akan menyerupai model pembangunan di Bintulu yang melibatkan Kampung Jepak sehingga seberang sungai Kemena di Bintulu.
Beliau mahu komuniti Melayu di Limbang terus bersatu padu serta mengelakkan konflik dalam proses menyelesaikan pertikaian hak milik tanah.
Dalam majlis yang sama, Abang Johari serta Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima Anugerah Pemimpin Politik Melayu Limbang.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong, Anggota Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan Pengerusi PML Mohamad Abu Bakar.
-- BERNAMA