Gerakan Mahu Kerajaan P. Pinang Turut Tumpu Projek Tebatan
GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) -- Gerakan Pulau Pinang menyambut baik peruntukan khas RM100 juta yang akan disalurkan oleh kerajaan negeri kepada mangsa banjir namun pada masa sama mahu kerajaan pimpinan DAP itu memberi tumpuan serius terhadap projek tebatan banjir.
Naib Pengerusinya Oh Tong Keong berkata ini termasuk menilai semula isu pembangunan yang tidak terkawal di negeri berkenaan.
"Sesudah berakhirnya kejadian banjir, kerajaan negeri perlu meneliti dan menilai semula sama ada pembangunan yang tidak terkawal dan penerokaan kawasan lereng bukit sehingga wujudnya 'Botak Hill' turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya kejadian banjir dalam negeri selain daripada faktor taburan hujan yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Peruntukan RM100 juta itu merangkumi antaranya pemberian tunai RM500 untuk satu isi rumah serta diskaun bil air.
Mengulas lanjut, Oh berkata dalam Bajet 2018, kerajaan negeri hanya memperuntukkan RM20 juta kepada kerajaan tempatan untuk melaksanakan projek tebatan banjir di negeri tersebut.
"Nisbah peruntukan bagi projek tebatan banjir berbanding dengan pemerkasaan bidang sukan dalam negeri adalah jauh lebih rendah. Maka, diharap agar pihak kerajaan negeri dapat menilai semula bajet berkenaan dan menambahkan lagi peruntukan bagi projek tebatan banjir buat masa akan datang," katanya.
Beliau berkata Gerakan Pulau Pinang juga mahu kerajaan negeri mengadakan penilaian secara holistik berhubung isu banjir di negeri itu.
Hujan lebat yang melanda Pulau Pinang bermula kira-kira 2 petang pada 4 Nov lalu dan berterusan hingga pagi esoknya menyebabkan negeri berkenaan lumpuh akibat banjir yang turut mengorbankan tujuh nyawa.
-- BERNAMA