Pakej Kerja Keenam Lebuhraya Pan Borneo Dilancar Minggu Depan - Fadillah
PAPAR, 11 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan pakej kerja keenam Projek Lebuhraya Pan Borneo akan dilancarkan pada 18 Nov ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata pakej kerja itu melibatkan jalan sejauh 19.1 kilometer (km) dari Putatan ke Inanam yang melibatkan kos kira-kira RM900 juta.
"Ada 17 pakej kerja tahun ini, dengan lima pakej sedang dilaksanakan dan dua pakej lagi (termasuk pakej kerja keenam) telah pun mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, manakala 10 lagi dalam fasa tender yang dijangka diselesaikan akhir tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat Pengarah Urusan Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) Ir Shahelmy Yahya mengenai perkembangan pakej kerja kelima merangkumi jalan Papar-Donggongon sejauh 11.7 km di sini, hari ini.
Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan pakej kerja keenam itu minggu depan.
Fadillah berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan pakej kelima itu, namun berharap masalah berkaitan penyerahan tanah dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan projek itu dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata kelewatan sembilan bulan dalam proses penyerahan tanah itu tidak menjejaskan pelaksanaan pakej kerja kelima projek itu secara kritikal kerana hanya melibatkan tujuh peratus daripada tanah yang terlibat.
Skop pakej Papar-Donggongon itu melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada kepada empat lorong dua hala termasuk pembinaan jambatan baharu Sungai Simpudu.
Pembinaannya bermula 31 Julai tahun lepas dan dijangka siap 15 Sept 2019.
-- BERNAMA