Puteri UMNO Lancar Kempen S.A.F.E, Banteras Keganasan Seksual




BANTING, 11 Nov (Bernama) -- Kempen 'Stop Abuse For Everyone for Safer And Fearless Environment (S.A.F.E)' yang dilancarkan Pergerakan Puteri UMNO hari ini merupakan perjuangan bagi membanteras keganasan seksual terhadap golongan kanak-kanak dan wanita muda.

Ketua pergerakan itu Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kempen itu diadakan kerana kurangnya sikap ambil peduli masyarakat tentang perkara itu selain golongan terkesan dilihat masih takut untuk tampil bagi dibantu apabila terlibat dalam keganasan seksual.

Katanya usaha yang digerakkan menerusi program #PuteriPeduli itu akan memberi pendedahan mengenai teknik pertahanan diri, kefahaman tentang gangguan seksual serta perbincangan interaktif dalam menjadikan pergaulan lebih sihat dan selamat.

"Kempen S.A.F.E akan digerakkan ke seluruh negara sepanjang masa bagi menyedarkan masyarakat supaya sentiasa ambil peduli dan beri perhatian tentang perkara ini kerana ia tidak boleh biarkan sekiranya perkara itu berlaku pada keluarga...mereka mesti dibantu.

"Kempen ini sekurang-kurangnya membantu golongan terlibat untuk keluar daripada masalah keganasan seksual, yang memberi isyarat kepada mereka bahawa masih ada harapan untuk melindungi diri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen S.A.F.E di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata semua anggota Puteri disaran untuk bekerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempergiatkan lagi pelbagai aktiviti berkaitan supaya golongan wanita dan kanak-kanak terus dilindungi.

Kempen S.A.F.E menyasarkan golongan kanak-kanak seawal usia empat tahun dan wanita muda sama ada berkahwin atau tidak untuk didedahkan mengenai teknik pertahanan diri, pemahaman tentang sentuhan yang dibenarkan terhadap kanak-kanak selain cara mengenali simptom kemurungan atau penderaan terhadap golongan itu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persiapan pergerakan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mas Ermieyati berkata jenteranya masih dalam siri jelajah ke seluruh negara untuk bersemuka dengan anggota akar umbi peringkat bahagian dan cawangan untuk memastikan mereka bersiap sedia dalam berperanan membantu kemenangan Barisan Nasional.

"Ini bukan masa untuk tidak mengambil berat apa yang berlaku (situasi semasa negara) kerana cabaran semakin berat dan semua kena mainkan peranan tak kira anggota peringkat cawangan atau PDM (Pusat Daerah Mengundi)," katanya.

-- BERNAMA