Pusat Kecemerlangan STEM Dirancang Dibina Di DUN Nangka




SIBU, 11 Nov (Bernama) -- Sebuah pusat kecemerlangan pendidikan untuk membantu pelajar dalam bidang sains, teknologi dan matematik (STEM) dirancang dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka pada 2019.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi negeri Dr Annuar Rapaee berkata, tapak bagi membina pusat kecemerlangan tersebut sedang dikenal pasti sekretariat pendidikan Pusat Khidmat DUN Nangka.

"Ia seperti pusat sumber. Pelajar boleh datang untuk mendapatkan bahan-bahan rujukan dan akan dikendalikan guru yang turut ditugaskan untuk membantu pelajar yang datang.

"Fungsi pusat lebih daripada perkhidmatan perpustakaan. Kalau saya dapat tapak tanah, saya rancang nak mula bina pusat kecemerlangan pendidikan ini pada tahun 2019 nanti,"katanya dalam ucapan Bengkel Pemantapan Prestasi Sekolah-sekolah DUN Nangka yang dihadiri 12 pengetua sekolah menengah serta guru besar sekolah rendah.

Beliau berkata fungsi lengkap, struktur, hala tuju serta kos pembinaan pusat kecemerlangan pendidikan itu akan diputuskan oleh 12 pengetua dan guru besar yang menyertai bengkel dua hari itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Annuar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka mengingatkan persatuan-persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dalam kawasan tersebut supaya memanfaatkan dana mereka untuk mengadakan lebih banyak aktiviti pemantapan akademik pelajar di sekolah masing-masing.

-- BERNAMA