Gerakan Bantu Tamatkan Penantian Status Kewarganegaraan Warga Emas
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Penantian selama lebih 30 tahun seorang warga emas, Wah Lian, 76, anak kelahiran Sekinchan untuk mendapatkan kewarganegaraan berakhir hari ini setelah mendapat perhatian Unit Khas Bahagian Kewarganegaraan Parti Gerakan.
Sebagai rakyat berstatus penduduk tetap, beliau tidak dapat keistimewaan sebagaimana warganegara lain seperti hak mengundi, kemudahan rawatan percuma, permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dan terpaksa melalui proses yang sukar ketika hendak ke luar negara.
"Sebelum ini anggota keluarga hendak membawa saya bercuti ke China namun tanpa kewarganegaraan saya tidak dapat memohon pasport dan terpaksa melalui kesukaran ketika melepasi kaunter imigresen.
"Setelah lebih 30 tahun menanti akhirnya hasrat saya mendapat kad pengenalan biru menjadi kenyataan dengan bantuan Parti Gerakan,"katanya kepada pemberita hari ini.
Wah Lian merupakan antara 11 pemohon yang menerima surat kelulusan warganegara yang disampaikan oleh Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dalam satu majlis yang diadakan di luar Persidangan Perwakilan Nasional ke-46 di sini.
Mah berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai masalah ketiadaan taraf warganegara khususnya dalam kalangan warga emas sejak dua tahun lalu.
"Berikutan itu, kami menubuhkan Unit Khas Bahagian Kewarganegaraan pada tahun lepas bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang dihadapi oleh warga emas berumur 70 tahun ke atas di seluruh negara.
"Sebelum ini, bagi memohon kewarganegaraan, seseorang haruslah melalui pelbagai saringan termasuk menjalani ujian lisan yang kadang kala mengambil masa sehingga setahun, namun kini telah dipendekkan kepada 53 hari sahaja,"katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Unit Khas Bahagian Kewarganegaraan Ben Liew Pook Boon berkata buat pertama kali pihaknya turut berjaya mendapatkan surat kelulusan kewarganegaraan bagi pemohon berusia 70 tahun ke bawah.
"Seramai lima daripada 11 penerima surat kelulusan kewarganegaraan berusia antara 60 dan 69 tahun dan seorang berusia 39 tahun. Sejak Unit Khas ini ditubuhkan pada tahun lepas, kami berjaya membantu seramai 158 pemohon untuk mendapat kewarganegaraan,"katanya.
Liew berkata para penerima perlu membawa surat kelulusan itu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk urusan pemprosesan kad pengenalan biru dan kos akan ditanggung oleh Gerakan.
-- BERNAMA