Isu Bekalan Air: Kedah Zahir Terima Kasih Atas Komitmen Kerajaan Persekutuan
ALOR SETAR, 12 Nov (Bernama) -- Kedah menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan persekutuan atas komitmen dan bantuan berterusan bagi membantu negeri ini menyelesaikan isu bekalan air melalui pelbagai peruntukan pinjaman.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ia apabila lima lagi projek baharu bekalan air luar bandar diluluskan iaitu projek menaik taraf Loji Rawatan Air Pelubang, Loji Rawatan Air Jenun Baru, Loji Rawatan Air Bukit Selambau, Loji Rawatan Air Sungai Limau dan Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama.
"Matlamat pelaksanaan projek ini adalah untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bekalan air terawat yang mencukupi, selamat dan bersih kepada penduduk negeri ini terutama di kawasan luar bandar," katanya ketika membentangkan Bajet 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Katanya, penyiapan Loji Sungai Santap dengan kos pinjaman daripada kerajaan persekutuan bernilai RM60 juta yang membekalkan 30 juta liter padu sehari, dilihat dapat memuktamadkan isu bekalan air terawat di kawasan Pokok Sena dan Pendang Utara.
"Kesannya isu berpanjangan seperti tekanan air rendah dapat diselesaikan dan dalam jangka masa panjang perbezaan rizab bagi sumber air mentah terawat negeri ini dapat dipertahankan bukan sahaja untuk keperluan harian, malah juga pertanian."
"Asas ini dikukuhkan melalui pelaksanaan projek Jeniang Transfer yang dianggarkan bernilai hampir RM1 bilion," katanya.
Ahmad Bashah berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut menyumbang peruntukan sebanyak RM5.54 juta bagi projek bekalan air luar bandar retikulasi negeri Kedah pada tahun ini.
Dalam pada itu, menteri besar berkata peranan Pejabat Pos selaku ejen kutipan bil mula dikembalikan pada 19 Okt lalu setelah fungsi itu ditamatkan oleh kerajaan terdahulu pada 1 Mac 2011.
Katanya akses itu memberi kemudahan pembayaran kepada pengguna di luar bandar, menyediakan kemudahan pembayaran bil setempat selain meminimumkan tunggakan bil.
Dengan kemudahan pembayaran ini, Syarikat Air Darul Aman Berhad (SADA) dapat menjimatkan pengurusan kos ke atas bil pengguna sebanyak RM390,000 sebulan.
-- BERNAMA