Lebih Banyak Klinik Kesihatan Dijangka Ditempatkan Di Bangunan Komersial





KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan tidak menolak kemungkinan menempatkan lebih banyak klinik kesihatan di bangunan komersial seperti di lot kedai dan pusat membeli-belah bagi menyediakan kemudahan kesihatan lebih baik kepada orang ramai dalam jarak yang dekat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata jarak yang dekat dapat memudahkan akses perubatan kepada pesakit terutamanya masyarakat yang tinggal di kawasan jauh daripada fasiliti kesihatan awam.

Katanya langkah itu juga dibuat akibat faktor keadaan semasa seperti harga tanah yang semakin tinggi dan ruang tanah untuk pembinaan bangunan baharu yang tidak mencukupi terutamanya di kawasan bandar.

"Kerajaan perlu buat keputusan atas keadaan semasa, tetapi ini bukan faktor kos semata-mata, tetapi ia juga dapat menampung pesakit yang tidak mempunyai akses perubatan di kawasan berhampiran.

"Tidak semua tempat akan diwujudkan (klinik kesihatan di kawasan komersial seperti ini. Kami akan buat keputusan berdasarkan analisa keperluan dan keadaan setempat yang berbeza mengikut kawasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Nak Sihat 'Bersama Komuniti Kekal Sihat' di Klinik Kesihatan Kota Damansara di sini, hari ini.

Klinik yang mula beroperasi bulan lepas itu dibina di bangunan lot kedai lima tingkat dengan kos RM11.7 juta dan menyediakan perkhidmatan klinik pesakit luar, rawatan pergigian, perkhidmatan x-ray dan rawatan kecemasan.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata program hari ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Katanya program seumpama itu perlu memandangkan berlaku peningkatan jumlah masyarakat di negara ini yang obesiti, menghidap hipertensi dan masalah merokok.

-- BERNAMA