105 Projek Pembinaan Bernilai RM2.2 Bilion Dilaksana Di Sabah




SANDAKAN, 12 Nov (Bernama) -- Sebanyak 105 projek pembinaan bernilai RM2.2 bilion telah dilaksanakan di Sabah bermula pertengahan tahun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata bilangan projek yang dilaksana dijangka meningkat kerana tahun ini hanya merupakan tahun kedua pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11, iaitu rancangan pembangunan lima tahun negara.

Antara projek yang mula dilaksanakan ialah Lebuhraya Pan Borneo, katanya pada Majlis Perasmian Seminar Pembangunan Kontraktor, Pejabat CIDB Cawangan Sandakan dan Penyerahan Projek ?Build Brigade', di sini hari ini yang disempurnakan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Sementara itu, Rosnah menggesa penggiat industri pembinaan menyahut seruan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang dilancar dua tahun lepas.

CITP dijangka mentransformasikan industri pembinaan ke arah industri lebih produktif, mampan, selamat, berkualiti, profesional dan berdaya saing di peringkat antarabangsa menerusi empat teras iaitu kualitui, keselamatan dan profesional, kemampanan alam sekitar, produktiviti dan pengantarabangsaan.

"Sektor pembinaan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan sektor-sektor lain," katanya.

Justeru kata beliau sektor itu perlu memandang ke depan dan mempelajari kaedah pembinaan moden sepeti Sistem Binaan Berindustri yang mampu meningkatkan produktiviti ke tahap lebih tinggi.

-- BERNAMA