Anak Yatim Bersyukur Terima Sumbangan Awal Persekolahan
SIK, 12 Nov (Bernama) -- "Alhamdulillah, syukur sebab ibu tak perlu sediakan baju sekolah untuk saya dan adik tahun depan," ujar seorang daripada penerima bantuan awal persekolahan sumbangan Kelab Anak-anak Sik dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nur Ainul Batrisyia Mohd Azrizal, 11.
Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir itu berkata, ayahnya, Mohd Azrizal Azmi, meninggal dunia kira-kira enam tahun lepas akibat kanser.
"Saya anak sulung, ada seorang adik perempuan Tahun Satu sekolah sama, juga menerima bantuan, jadi saya sangat gembira sebab ibu tak perlu belikan baju sekolah baharu."
"Mulanya saya cadang untuk memakai baju lama sahaja, memandangkan saya bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan, tetapi rezeki dapat baju baharu," katanya kepada Bernama selepas menerima sumbangan awal pakaian persekolahan kepada anak yatim dari sekolah-sekolah kebangsaan di seluruh daerah Sik di SK Chemara di sini hari ini.
Sementara itu, seorang murid SK Teloi Tua, Nurul Insyirah Ahmad Yusri, 12, berkata dia bakal melangkah ke Tingkatan Satu tahun hadapan dan bersyukur kerana tidak perlu lagi membeli pakaian baharu.
"Syukur dengan sumbangan ini, ibu dapat gunakan perbelanjaan untuk pembelajaran adik-beradik yang lain," katanya.
Dalam pada itu, Penasihat Kelab Anak-anak Sik Datuk Dr Abd Razak Kechik berkata seramai 341 murid Tahun Satu hingga Enam dari 22 buah sekolah rendah di daerah Sik, yang terdiri daripada anak yatim, menerima sumbangan awal pakaian sekolah sebagai persiapan sebelum sesi persekolahan tahun hadapan bermula.
"Mereka masing-masing menerima sepasang pakaian sekolah, beg, kasut, stokin berserta tudung atau songkok, yang keseluruhannya dianggarkan menelan belanja RM45,000, termasuk sumbangan zakat daripada SSM sebanyak RM30,000."
"Bantuan ini diharap dapat membantu golongan yang memerlukan di daerah Sik, dan akan diteruskan pada tahun hadapan," katanya.
Dalam pada itu, majlis perasmian dan penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengarah SSM negeri Kedah, Ramli Leen.
-- BERNAMA