Dakwaan Hak Sabah Tidak Dilaksana Adalah Retorik Politik - Pandikar Amin
KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Dakwaan sesetengah pihak bahawa hak-hak Sabah tidak dilaksanakan sepenuhnya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya retorik politik bagi mencetuskan rasa marah dan benci dalam kalangan rakyat Sabah yang mungkin tidak memahami sepenuhnya sejarah pembentukan negara, kata Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata dokumen berkaitan sejarah pembentukan Malaysia seperti Memorandum 20 Perkara dan Laporan Suruhanjaya Cobbold ditimbulkan agar mencerminkan sesetengah daripada tuntutan yang digariskan dalam MA63 tidak dipenuhi.
"Dokumen tersebut hanya mengandungi cadangan (dalam pembentukan Malaysia) dan rundingan yang menyusuli pelbagai mesyuarat pada masa itu. Dokumen terbabit bukan perjanjian yang sah di sisi undang-undang."
"Satu-satunya perjanjian yang sah di sisi undang-undang ialah MA63 yang menguatkuasakan semua syor dalam dokumen terbabit."
"Ada rantaian peristiwa ke arah pembentukan Malaysia yang tidak boleh dipisahkan? anda mesti lihat dalam keseluruhan roh MA3 dan kenapa ia dilakukan dengan cara sedemikian," katanya kepada pemberita selepas menyertai forum mengenai MA63 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Gabungan Idea Pembangunan Sabah, di sini hari ini.
Pandikar yang baru-baru ini menerbitkan buku mengenai MA63 bertajuk 'Berpisah Tiada', menggesa orang ramai agar memahami perjanjian dan sejarahnya sebelum membuat ulasan yang boleh menjejaskan sebuah negara yang sudah aman dan harmoni.
Beliau juga berkata hanya segelintir rakyat di Sabah dan Sarawak berkongsi pandangan Doris Jones, penggerak Sabah Sarawak Keluar Malaysia.
Pandikar turut menyanggah dakwaan kerajaan persekutuan tidak membawa kemajuan kepada rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Kita bakal memiliki Lebuhraya Pan Borneo, seperti Lebuhraya Utara-Selatan dari Perlis ke Johor. Sekarang kita mahu membina jambatan (menghubungkan Labuan dan Menumbok, kira-kira 155 kilometer dari sini)."
"Jangan kata segala (yang kerajaan lakukan) adalah terlalu lambat." katanya.
-- BERNAMA