Puteri UMNO Selangor Perlu Terus Proaktif Dekati Pengundi Muda




KUALA SELANGOR, 12 Nov (Bernama) -- Puteri UMNO Selangor digesa terus proaktif dalam mendekati dan menawan hati pengundi muda bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) menawan semula negeri itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata bagi mencapai matlamat itu, anggota Puteri perlu bekerja keras untuk menarik golongan muda mendaftar sebagai pengundi.

"Kita perlu jaga anak muda ini terutamanya yang baru nak mendaftar sebagai pengundi? dekati mereka terutamanya di kawasan masing-masing."

"Kita kena kenal mereka, perlu tahu latar belakang mereka sebelum kita nak dekati mereka untuk sama-sama menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang," katanya dalam sesi dialogM bersempena Majlis Perjumpaan Puteri UMNO Cawangan peringkat Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan Ketua Puteri UMNO Selangor Salbiah Saari.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut mengingatkan sayap muda UMNO tersebut supaya menggunakan platform media sosial sebaiknya dalam menyebarkan aktiviti dan program parti.

"Puteri perlu bijak menggunakan kemudahan Internet dan teknologi yang ada dalam menyebarkan program kita kepada kumpulan sasaran (pengundi muda)."

"Langkah ini perlu supaya mereka ini boleh menyertai program yang dianjurkan Puteri dan secara tidak langsung ia mendekatkan kita dengan pengundi," katanya.

-- BERNAMA