Wanita UMNO Silam Salur Dana Insentif Kecemerlangan Pelajar
KUNAK, 13 Nov (Bernama) --- Wanita UMNO Bahagian Silam menyalurkan dana bagi menambah dana Pejabat Pendidikan Daerah Kunak untuk insentif kecemerlangan kepada 61 pelajar cemerlang Peperiksaan Tingkatan Tiga (PT3) 2016 di sekitar Kunak.
Ketuanya Mizma Appehdullah berkata dana sebanyak RM5,000 daripada tabung pendidikan pergerakan itu disalurkan bertujuan memberi motivasi kepada pelajar yang berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik.
"Usaha mereka ini harus dihargai dan mereka ini boleh dijadikan pendorong kepada pelajar lain untuk mencapai kecemerlangan di masa hadapan.
"Saya turut berharap bilangan pelajar cemerlang ini akan terus bertambah lagi," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian insentif kecemerlangan di sini, hari ini.
Pada majlis itu, 11 pelajar yang memperoleh 11A, 16 pelajar (10A), 14 pelajar (9A) dan 20 pelajar (8A) daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak, SMK Kunak Jaya dan SMK Madai menerima insentif RM200 setiap seorang.
Menurut Mizma, usaha Wanita UMNO memberi bantuan kewangan itu seiring dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dibentang dalam Bajet 2018 iaitu memperkasa institusi pendidikan negara dengan memberi bantuan kepada pelajar dan sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Pada majlis itu, Mizma turut mengumumkan pergerakan itu juga bercadang menyalurkan RM10,000 kepada PPD Kunak untuk membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar lemah.
-- BERNAMA