GiatMara, Pemuda UMNO Kerjasama Baik Pulih Rumah Di Parlimen Semporna
SEMPORNA, 13 Nov (Bernama) -- GiatMara kini membantu membaik pulih lebih 200 kediaman penduduk kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Semporna.
Pemangku Ketua Bahagian UMNO Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran berkata, kerja-kerja baik pulih tersebut turut dilaksanakan dengan kerjasama Pemuda UMNO bahagian itu dengan peruntukan disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
"Kerja membaiki ini bermula sejak Sept lepas dan turut melibatkan rumah-rumah di kawasan pulau di Semporna, manakala dari segi kos membaik pulih rumah itu berbeza bagi setiap rumah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Pemangku Ketua Pemuda Bahagian UMNO Semporna, Ahmad Marzuki Nasir berkata 40 rumah di parlimen itu telah siap dibaik pulih dan 100 rumah sedang dibaik pulih manakala selebihnya dalam proses mengenal pasti penerima yang layak.
"Kita bergotong royong melaksanakan program baik pulih di bawah KKLW 2017 ini dan ini bukti bahawa kerajaan mahupun UMNO bukan hanya menzahirkan kerja melalui kata-kata tetapi kita buktikan dengan pelaksanaannya yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya lagi.
Dalam pada itu, penduduk, Raman Saraba,49, berterima kasih terhadap UMNO, Giatmara dan kerajaan yang prihatin membantu menaik taraf rumahnya yang sebelum ini terbengkalai di Kampung Kubang Pinang.
--BERNAMA