Pemuda Gerakan Bersila Di DUN Desak Bantah Projek Lereng Bukit
GEORGE TOWN, 13 Nov (Bernama) -- Kira-kira 20 anggota Pemuda Gerakan Pulau Pinang hari ini bersila selama 30 minit di hadapan pagar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi mendesak semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong usul meminta kerajaan negeri menghentikan semua projek pembangunan di lereng bukit.
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo berkata pihaknya memohon agar semua ADUN yang bersidang sebulat suara menyokong usul yang bakal dibentang ADUN Pulau Betong Datuk Muhamad Farid Saad.
"Kami mahu setiap ADUN menyokong usul ini. Kita semua tahu tragedi tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pada 21 Okt lepas meragut 11 nyawa. Kita perlu mengelak tragedi sebegini lagi," katanya kepada pemberita di luar bangunan DUN di sini hari ini.
Kesemua kira-kira 20 anggota Pemuda Gerakan itu bersila sambil memegang kain rentang bertulis 'Mohon ADUN Pulau Pinang Mewariskan Alam Semula Jadi Kepada Generasi Akan Datang'.
Dalam kejadian 21 Okt lepas, kejadian tanah runtuh di tapak projek di Lengkok Lembah Permai itu meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan; lima Bangladesh; dua Indonesia; dua Myanmar dan seorang Pakistan apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh.
-- BERNAMA