Kedah Yakin Capai Perolehan Lebih Tinggi - Exco
ALOR SETAR, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah diyakini mampu mencapai perolehan lebih tinggi tahun ini iaitu lebih 80 peratus daripada unjuran hasil disasarkan dengan kadar pengurusan defisit yang terbaik dalam tempoh lima tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada jumlah sebenar pendapatan kerajaan sehingga semalam yang berjumlah RM485.19 juta ataupun 81.64 peratus daripada unjuran hasil tahun ini.
"Kita yakin jumlah ini akan bertambah pada hujung tahun ini kerana pelbagai agensi kita seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang giat mengutip hasil seperti cukai tanah, premium tanah dan premium hutan. Mereka bersama Pegawai Tadbir Kerajaan Kedah (KCS) amat cemerlang dalam melakukan tugasan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) yang mahu tahu berapakah pendapatan sebenar keseluruhan kerajaan negeri untuk tahun ini dan perincian kategori perolehan terbanyak.
Tahun lalu, jumlah hasil pendapatan sebenar kerajaan negeri berjumlah RM601.1 juta atau 83 peratus daripada unjuran pada tahun itu iaitu sebanyak RM721 juta.
Ku Rahman menjelaskan, hasil daripada premium hutan misalnya mencatat jumlah RM44.4 juta setakat semalam berbanding sasaran ditetapkan sebanyak RM40 juta (111 peratus) manakala cukai tanah berulang sebanyak RM177.1 juta berbanding sasaran sebanyak RM175.4 juta.
Katanya prestasi kewangan negeri juga dilihat semakin baik apabila kerajaan negeri hanya mencapai deifisit sebanyak RM30 juta setakat ini berbanding anggaran defisit yang ditetapkan pada Bajet 2017 iaitu sebanyak RM75.5 juta
"Ini menunjukkan kecekapan kerajaan dalam memungut hasil selain pemantauan ketat yang sering kita lakukan dalam setiap perbelanjaan kita," katanya.
Ku Rahman berkata ia turut dibantu oleh kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam menerapkan konsep perbelanjaan berhemah, selain hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.
Setakat semalam jumlah sebenar perbelanjaan negeri ialah sebanyak RM509.1 juta, katanya.
-- BERNAMA