Penduduk Tuntut Kerajaan Selangor Batal Pembahagian Tanah Rizab
KUALA SELANGOR, 13 Nov (Bernama) -- Sekumpulan penduduk Kampung Sungai Yu di sini, mengadakan bantahan secara aman di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor bagi mendesak kerajaan Selangor membatalkan pembahagian tanah rizab yang didakwa dilaksanakan secara tidak adil.
Wakil kumpulan penduduk itu, M. Purusothman mendakwa pembahagian tanah yang dikhaskan kepada kaum India di kampung itu dilihat tidak menepati syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.
"Sebelum ini kami pernah mempertikaian pembahagian tanah ini apabila kami mendapat maklumat senarai mereka yang dapat tanah ini bukan dalam kalangan penduduk (India) tempatan kawasan ini, malah ada golongan berkemampuan turut mendapat lot tanah tersebut.
"Bila kami minta penjelasan mengenai perkara itu daripada Pejabat Daerah dan Tanah, kami gagal (dapatkan penjelasan) dan hari ini kami berhimpun sebab kami mahu menuntut penjelasan kerana kami juga mempunyai maklumat bahawa tanah itu telah diagihkan kepada penduduk luar Selangor termasuk dari Perak dan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Seorang lagi wakil penduduk P. Puvandran berkata beliau kesal kerana isu yang dibangkitkan itu juga tidak mendapat perhatian serius kerajaan negeri.
Katanya walaupun bantahan berhubung agihan tanah itu telah dibuat sebelum ini, tiada sebarang tindakan susulan daripada kerajaan negeri termasuk menyiasat dakwaan berkenaan.
"Kami minta pihak berkaitan dan kerajaan negeri siasatlah perkara ini, syarat layak untuk dapat tanah ialah keluarga yang berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah dan masih belum memiliki tanah...tetapi ada yang berkemampuan dan telah mempunyai tanah turut diagihkan tanah tersebut, jadi mana keadilannya?," katanya.
-- BERNAMA