Empangan Bengoh Kukuh Dan Stabil - Rundi
KUCHING, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Utiliti Sarawak memberi jaminan empangan Bengoh adalah kukuh dan stabil dari segi teknikal dan strukturnya berdasarkan laporan pakar perunding reka bentuk empangan dan kontraktor dan bukan seperti yang didakwa sesetengah pihak di dalam media.
Menterinya Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata sebenarnya reka bentuk dan pembinaan empangan itu melibatkan input daripada pakar antarabangsa berpengalaman dari United Kingdom, dan seorang pakar kontraktor empangan dari China yang telah membina lebih daripada 200 empangan di seluruh dunia, dan bekerjasama dengan kontraktor tempatan yang mantap.
"Reka bentuk dan pembinaan dikaji seorang pakar empangan terkenal dunia dari Australia," kata Rundi dalam sidang media di luar sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Rundi berkata empangan Bengoh Dam telah beroperasi dan fungsinya telah berjalan sepenuhnya seperti yang direka bentuk sejak akhir 2015.
Beliau menegaskan pengurangan tahap air takungan empangan itu yang dibuat baru-baru ini adalah selaras dengan prosedur operasi atas nasihat perunding empangan.
"Langkah mengurangkan tahap air takungan yang dirancang itu bukan disebabkan oleh sebarang kebocoran atau kerosakan empangan.
"Oleh itu, keselamatan dan integriti empangan tidak terjejas sekalipun," katanya.
Rundi berkata ia telah disahkan perunding empangan dan pakar mereka dari Halcrow Consultant, United Kindom, semasa lawatan pemeriksaan berkala di tapak itu pada akhir Oktober 2017.
Katanya dalam pembinaan empangan konkrit, pembinaan, pengecutan dan sendi pergerakan haba adalah sebahagian daripada struktur sambil menambah pengaliran air melalui sambungan ini memang telah dijangka.
"Apa yang dilihat di tapak itu sebenarnya adalah pengecutan sendi yang direka dan bukan 'retak' seperti yang didakwa. Jadi peresapan melalui sendi telah dijangka dan tampalan basah yang dilihat di kawasan ini adalah disebabkan resapan," katanya.
Beliau berkata mengikut prosedur operasi standard bagi semua empangan yang dibina di seluruh dunia, sudah ada pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP).
Dalam sesuatu keadaan, beliau berkata pihak berkaitan termasuk penduduk di kawasan hiliran akan dimaklumkan serta-merta dan pemindahan dan pelan tindak balas kecemasan akan segera dilaksanakan.
"Malah dialog dan bengkel mengenai ERP diadakan di sebuah hotel tempatan pada akhir 2016 yang disertai semua agensi kerajaan berkaitan, kontraktor, perunding dan ketua-ketua kampung dan pihak media.
"Pemantauan rutin pergerakan bahagian tengah empangan itu untuk memastikan keselamatannya telah dilaksanakan sejak di peringkat pembinaan dan meneruskannya sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard," katanya.
Berita mengenai keretakan yang terdapat di empangan itu menimbulkan ketakutan di kalangan lebih 2,000 penduduk yang tinggal di kawasan bawah empangan iaitu dari Kampung Bengoh, Kampung Danu, Kampung Semadang, Kampung Giam Baru dan Lama, Kampung Git dan Kampung Sibetung.
Penduduk yang terjejas mendakwa pihak berkuasa masih belum memasang siren dan membina pusat pemindahan seperti yang dijanjikan bagi memindahkan penduduk yang terjejas sekiranya empangan runtuh.
Seorang wakil kontraktor empangan yang berada dalam sidang media itu tidak dapat memberikan jawapan apabila ditanya pemberita mengapa ia mengambil masa yang lama untuk memasang siren dan membina pusat pemindahan di semua kampung terlibat.
-- BERNAMA