264,352 Pekebun Kecil, Penoreh Getah Terima Bantuan Musim Tengkujuh
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Seramai 499,802 pekebun kecil dan penoreh getah telah berdaftar untuk menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT), kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 264,352 telah menerima BMT iaitu bantuan RM200 sebulan yang diberikan pada November dan Disember 2017 serta bayaran yang akan diterima pada Januari 2018.
"Buat masa ini juga kerajaan tidak bercadang menyediakan bantuan lain untuk pekebun kecil dan penoreh getah bagi memperolehi pendapatan semasa musim tengkujuh," katanya menjawab soalan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) mengenai inisiatif selain BMT yang diberikan kepada kumpulan itu di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya program pendaftaran dilaksanakan menerusi dua kaedah iaitu dalam talian serta pendaftaran menerusi ketua kampung atau pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).
-- BERNAMA