Speaker DUN Sarawak Tolak Usul PKR Berhubung Empangan Bengoh
KUCHING, 15 Nov (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar hari ini menolak usul persendirian dikemukakan oleh wakil rakyat PKR See Chee How untuk membincangkan soal keselamatan di Empangan Bengoh.
Asfia semasa menolak usul itu berkata menteri yang bertanggungjawab bagi perkara itu telah diberikan taklimat oleh perunding dan jurutera projek itu dan memberi jaminan kepada See bahawa struktur empangan itu kukuh dan selamat.
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pending itu semasa mengemukakan usul itu berkata pada 12 Nov dilaporkan dalam media cetak bahawa Empangan Bengoh yang terletak di hulu Sungai Sarawak Kiri menunjukkan tanda-tanda berlaku resapan.
Katanya pada 13 Nov Menteri Utiliti negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom turut mengeluarkan kenyataan memetik laporan pakar perunding rekaan empangan itu dan kontraktor yang memberikan jaminan bahawa Empangan Bengoh adalah kukuh dan stabil dari segi teknikal dan strukturnya.
See mendakwa laporan dan maklumat diberikan kontraktor dan perunding kepada menteri itu boleh dipertikaikan, bercanggah dan tidak bersifat semasa.
-- BERNAMA