Pahang Tidak Berhasrat Naik Tarif Air Elak Bebankan Rakyat
KUANTAN, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang tidak berhasrat untuk menaikkan tarif air walaupun Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menanggung defisit kira-kira RM10 juta sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata keputusan itu dibuat Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang tidak mahu rakyat terbeban dengan kenaikan tarif air itu.
Beliau menambah Paip hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM13 juta sebulan, berbanding kos operasi bulanan yang menjangkau sehingga RM23 juta yang perlu ditangggung syarikat utiliti itu.
"Sebanyak RM9 juta adalah diperuntukkan sebagai bayaran kepada Tenaga Nasional Berhad bagi kos bekalan elektrik untuk mengerakkan loji... belum termasuk lagi dengan kos lain yang seperti pengurusan dan bayaran gaji.
"Bagaimanapun, keprihatinan MB (Menteri Besar) telah menetapkan supaya bayaran air dikekalkan tapi perkhidmatan yang diberikan adalah baik," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Mohd Soffi menjawab soalan tambahan Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) yang ingin mendapatkan penjelasan jika benar pengguna mengalami kerugian apabila terdapat paip dipecahkan secara sengaja.
Sementara itu, menjawab soalan Lee Chin Chen (DAP-Ketari) yang ingin tahu jumlah dan tindakan Paip bagi mengatasi masalah bekalan air yang disebabkan oleh masalah paip air usang, Mohd Soffi berkata usaha sedang dilakukan.
"Pihak pengurusan sudah mengenal pasti, paip yang perlu dinaik taraf dan membuat permohonan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengikut keutamaan seperti usia, keadaan dan jenis paip.
"Paip mempunyai 31 pasukan pembaikan paip pecah di setiap daerah meliputi lima anggota, peralatan, kenderaan dan jentera pengorek...kami sentiasa memantau aktiviti baik pulih.
"Setakat ini Paip mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan, setiap kejadian paip pecah menyebabkan gangguan pada bekalan diselesaikan dalam tempoh 24 jam," katanya.
-- BERNAMA