Jabatan Penerangan Kelantan Dan Media Tingkat Kerjasama Sebar Maklumat




JELI, 21 Nov (Bernama) -- Jabatan Penerangan Kelantan meningkatkan kerjasama dengan pengamal media bagi menyampaikan maklumat tepat berkaitan isu-isu semasa kepada masyarakat.

Pengarahnya Azahar Ismail berkata kerjasama tersebut merupakan medan bagi menangkis penyebaran maklumat kurang sahih khususnya melalui media sosial.

"Kerjasama serta hubungan yang erat itu juga penting kepada kedua-kedua pihak sebagai persediaan menghadapi suasana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya kepada pemberita pada Program Retreat Strategik Media Engagement Sempena Lawatan Inovasi 2017 di Taman Santuari, Tasik Pergau di sini, semalam.

Seramai 50 peserta terdiri daripada wakil media di negeri ini serta pengawai jabatan tersebut menyertai program dua hari itu yang bermula Ahad lepas.

"Bagi menghadapi pilihan raya, peranan kami dan media kepada masyarakat adalah menyebarluaskan kempen pendaftaran pemilih dan menggalakkan pengundi keluar mengundi," kata Azahar.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) Mohd Zaain Md Zain berkata kerjasama dan hubungan yang erat itu amat diperlukan oleh media arus perdana mendepani cabaran bagi memperbetulkan maklumat kurang sahih yang disebarkan melalui media baharu.

"Memandangkan negara kita bakal berdepan suasana pilihan raya umum maka semakin banyak maklumat tidak betul akan diterima oleh masyarakat melalui pelbagai platform media baharu," katanya.

Sehubungan itu, tanggungjawab bagi menyedarkan dan memperbetulkan masyarakat berkaitan maklumat yang diterima perlu dilakukan dengan pantas, katanya.

-- BERNAMA