Suruhanjaya Tenaga Peruntuk RM90,000 Baik Pulih Pendawaian Sekolah Tahfiz




MELAKA, 21 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) memperuntukan sebanyak RM90,000 bagi membaik pulih sistem pendawaian di 14 sekolah tahfiz di seluruh negara sepanjang tahun ini menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) suruhanjaya berkenaan.

Pengarah Operasi Kawasan dan Penguatkuasaan ST, Md Zakuan Ibrahim berkata setakat ini kerja membaik pulih telah selesai dilaksanakan di 12 sekolah tahfiz terpilih, dua di Selangor , satu di Perak , satu di Pahang , dua di Pulau Pinang, satu di Melaka dan lima di Sabah, manakala dua lagi di Kelantan masih dalam proses penambahbaikan.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang dilakukan termasuk penambahan pendawaian terhadap punca kuasa dan kipas, penggantian lampu yang rosak, penukaran kotak papan agihan dan penambahan alat perlindungan.

"Program CSR ini merupakan salah satu program titik sentuhan yang mula dilaksanakan pada tahun lepas. Sebelum ini sebanyak sembilan sekolah tahfiz terpilih bagi perlaksanaan program ini dan pada tahun ini ia diperluaskan di 14 sekolah di seluruh negara.

"Peruntukan penambahbaikan sistem pendawaian di setiap sekolah bergantung pada kerosakan atau penggantian yang perlu dilakukan dan perbelanjaan maksimum adalah sebanyak RM10,000," katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian program (CSR) berkenaan di sekolah tahfiz di Madrasah An Nuriah Ad Diniah di sini, hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja penambahbaikan sistem pendawaian berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama institut kemahiran yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendawaian elektrik dan kontraktor bagi mengurangkan kos upah atau tenaga kerja.

Katanya melalui program CSR tersebut orang ramai atau pelajar sekolah tahfiz terlibat turut diberikan pemahaman mengenai kepentingan sistem pendawaian yang mempunyai alat perlindungan iaitu peranti arus baki (PAB) yang sempurna.

Md Zakuan berkata PAB memerlukan pengujian secara berkala bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik dan dapat melindungi nyawa dengan memutuskan bekalan elektrik sekiranya terdapat kebocoran arus atau litar pintas.



-- BERNAMA