Jangan Guna Isu Agama Dalam Politik - KM Sabah

KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman sekali lagi meminta agar 'orang politik' tidak menggunakan isu berkaitan agama dalam politik.
"Politik ialah politik dan agama adalah agama. Kita mesti hormat menghormati agama masing-masing. Oleh itu janganlah mengunakan isu agama dalam politik masing-masing.
"Kita lihat sekarang ini, khususnya pembangkang suka menggunakannya (isu politik). Kita di Sabah sentiasa hidup bersatu padu, menghormati antara satu sama lain... jadi kita tidak perlu bezakan antara kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, Biskop Datuk Melter Jiki Tais di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini. Turut serta dalam kunjungan itu Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Yeo Boon Hai.
Musa berkata kerajaan negeri sentiasa menghormati semua agama yang ada di Sabah.
"Perasaan kekitaan dan kesepaduan amat penting untuk kita di Sabah dan Malaysia untuk memastikan negara terus maju dan berjaya dalam apa sahaja bidang," kata ketua menteri.
Sementara itu, Melter mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Musa yang juga Menteri Kewangan negeri kerana terus memberi sokongan kepada Majlis Gereja-Gereja Sabah.
"Setiap tahun kerajaan negeri memberi bantuan kewangan untuk mengadakan sambutan Krismas dan pada tahun ini kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk mengadakan acara 'KK Christmas Celebration 2017' di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada 12 Dis ini.
"Bukan itu sahaja, saya bagi pihak Majlis Gereja-Gereja Sabah berterima kasih kerana setiap tahun kerajaan negeri terus memberi peruntukan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah," katanya.
-- BERNAMA