Semua Universiti Awam Jadi Kampus Pintar Menjelang Jun 2018
PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Semua 20 Universiti Awam (UA) akan menjadi kampus pintar menjelang Jun tahun depan sebagai satu daripada inisiatif ke arah revolusi Pendidikan Tinggi 4.0, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Dr Siti Hamisah Tapsir.
Beliau berkata ia petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai oleh semua UA melalui penggunaan aplikasi bacaan kod Respons Pantas (QR) yang telah dilaksanakan beberapa UA seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
"Melalui pelaksanaan kampus pintar atau kampus digital, pelajar hanya perlu menggunakan kod QR untuk melakukan pembelian, pendaftaran, meminjam buku dan sebagainya.
"Jadi kampus akan menjadi 'cashless' (tanpa tunai) dan 'cardless' (tanpa kad)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pengurusan Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) di sini hari ini.
Mengenai rangka kerja Pendidikan Tinggi 4.0, beliau berkata pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih dalam proses mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan sebelum dimuktamadkan.
Siti Hamisah, yang mengetuai penggubalan rangka kerja itu berkata, setakat ini pihaknya telah bertemu dengan lebih 3,500 individu termasuk ahli akademik dan wakil-wakil universiti di seluruh negara.
"Kita masih ada beberapa sesi pertemuan lagi sehingga bulan hadapan sebelum kita muktamadkan rangka kerja itu.
"Antara maklum balas yang kita terima ialah bagaimana pensyarah mengajar selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 seperti menggunakan telefon pintar dan perisian yang dihasilkan sendiri oleh pelajar," katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh semasa merasmikan Seminar Revolusi Industri 4.0 KPT pada Ogos lepas berkata rangka kerja Pendidikan Tinggi 4.0 adalah persediaan bagi mempersiap pendidikan negara menghadapi 'tsunami' Revolusi Perindustrian 4.0.
Pada majlis itu, Siti Hamisah turut menyaksikan acara menandatangani perjanjian antara GLU yang terdiri daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bagi meningkatkan kerjasama antaranya dalam pengalaman, kepakaran dan pengetahuan.
-- BERNAMA