Projek Naik Taraf LRA Kulim Hi-Tech Dijangka Siap Jan 2018




KULIM, 21 Nov (Bernama) -- Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kulim Hi-Tech di Pinang Tunggal dengan kos RM81juta yang bermula sejak Febuari 2015 lepas, bakal siap sepenuhnya pada Januari tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, walaupun terdapat sedikit kelewatan dari tarikh asal, kerja-kerja naik taraf tetap berjalan mengikut jadual.

"Antara masalah yang dihadapi adalah berkaitan dengan sambungan janaan elektrik dan pihak kontraktor sudahpun menyelesaikannya dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Jadi, kita berharap segalanya dapat disiapkan menjelang Januari nanti memandangkan kerja-kerja di sini perlu dilakukan secara berperingkat," katanya kepada media selepas sesi taklimat ketika mengadakan lawatan kerja di tapak projek naik taraf LRA itu, di sini hari ini.

Badrul Hisham berkata, antara kerja-kerja naik taraf yang dijalankan adalah melibatkan tangki dan bangunan proses rawatan air, peralatan loji serta peralatan janaan elektrik oleh TNB bagi menampung kapasiti permintaan air yang dijangka meningkat kepada 300 juta liter sehari (MLd) berbanding 150MLd.

Katanya lagi, pihak Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) memilih untuk menaik taraf loji ini berdasarkan faktor kedudukan yang paling hampir dengan sumber air mentah iaitu Sungai Muda yang dilihat mempunyai kapasiti yang mencukupi.

"Jadi, ia menjimatkan kos dan masa dalam usaha semua pihak terutama kerajaan negeri mempertingkatkan kapasiti bekalan air terawat ke kawasan Kulim terutama di kawasan industrinya," katanya.

Badrul Hisham juga berkata projek naik taraf itu akan memberi faedah kepada penduduk di 15 mukim yang terdapat di Kulim yang membabitkan 400,000 orang pengguna atau 80,000 pemegang akaun.

Katanya, berikutan dengan perkembangan pesat di daerah Kulim terutama di Kulim Hi-Tech khasnya keperluan mendesak dari projek Fasa Keempat, kapasiti loji air sedia ada sudah tidak dapat menampung permintaan air sekarang.

"Terkini, terdapat 10 kilang utama di Kulim Hi-Tech dengan penggunaan sehingga 44,300 meter padu air (m3) dan masalah ini dapat diatasi dengan kerja naik taraf LRA Kulim Hi-Tech tersebut.

"Jadi, kerja-kerja naik taraf loji ini juga adalah antara perancangan jangka panjang bagi menampung permintaan bekalan air bagi kawasan industri di Kulim yang bakal memasuki fasa kelima nanti. Secara tidak langsung, ia akan memberi petunjuk yang positif kepada para pelabur yang akan melabur di kawasan tersebut," katanya.

-- BERNAMA