Pertumbuhan Kelantan Disokong Kerajaan Pusat - Mustapa
KOTA BHARU, 21 Nov (Bernama) -- Kadar pertumbuhan Kelantan yang mencecah 4.8 peratus tahun lepas tercapai hasil sokongan pelbagai projek pembangunan dan bantuan yang disediakan kerajaan persekutuan.
Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berkata kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) membelanjakan sebanyak RM6.3 bilion pada tahun lepas merangkumi RM5.2 bilion bagi belanja mengurus dan RM1.1 bilion bagi pembangunan.
"Kerajaan Kelantan hanya membelanjakan RM961 juta pada tahun lepas. Jika ikut nisbahnya 6:1 ataupun dalam bahasa mudahnya, kerajaan persekutuan membelanjakan sebanyak RM6 bagi setiap RM1 yang dibelanjakan (kerajaan negeri) Kelantan,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2018 yang dibentangkan kerajaan negeri sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Kerajaan negeri semalam membentangkan bajet tersebut dengan anggaran defisit sebanyak RM41.74 juta berbanding RM42.65 juta dalam Bajet 2017, dengan menyasarkan perolehan hasil sebanyak RM696.90 juta.
Sementara itu ketika ditemui di luar dewan, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau merasa sedih dengan tindakan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak menghargai pelbagai bantuan yang dihulurkan kerajaan persekutuan terutama di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan persekutuan menghulurkan pelbagai bantuan terutama membangunkan projek-projek bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
"Dalam perlembagaan, kerajaan persekutuan tidak perlu membangunkan projek-projek di bawah PBT seperti pembinaan pasar basah, taman awam ataupun masjid, namun kita tetap laksanakan untuk membantu rakyat,"katanya.
-- BERNAMA