Fitnah Ketua Menteri Sabah: Gaum Mahu Tindakan Tegas Terhadap Pemuda Warisan
KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (Gaum) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pemuda Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman kerana memfitnah seorang pegawai tinggi dalam kerajaan negeri memiliki sebuah pesawat persendirian.
Pengerusi Gaum Datuk Zulkarnain Mahdar berkata Mohd Azis telah bertindak salah dengan menabur fitnah kononnya sebuah pesawat jenis Gulfstream G200 dimiliki Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, walaupun Sabah Air Aviation Sdn Bhd (Sabah Air) telah menjelaskan pesawat itu miliknya.
"Penjelasan oleh Sabah Air bahawa Gulfstream G200 itu sebenarnya milik dan dikendalikan syarikat itu jelas menunjukkan kualiti yang sangat rendah cara berpolitik dan bekerja Ketua Pemuda Warisan.
"Saya telah membuat laporan polis mengenai perkara itu dan kita mahu polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan mengikut akta sedia ada kerana kenyataan tersebut dilihat cuba mewujudkan presepsi negatif di kalangan rakyat di sabah," katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
-- BERNAMA