Agenda Perangi Dadah Antara Aspirasi TN50
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Agenda memerangi dadah adalah antara aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi mewujudkan persekitaran yang lebih terjamin, persidangan Dewan rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat berkata dapatan awal kajian kluster keselamatan TN50 yang dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunjukkan empat peratus daripada 5,000 responden menyatakan hasrat untuk membanteras dadah menjelang 2050.
"KDN melalui Agensi Antidadah Negara (AADK) merangka pelan strategik pelaksanaan Dasar Dadah Negara bagi memastikan ia dilaksanakan secara komprehensif," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) mengenai dasar kerajaan memerangi dadah dan sama ada agenda menghapus dadah dimasukkan dalam TN50.
Masir berkata Dasar Dadah Negara itu mempunyai lima teras utama iaitu pencegahan, rawatan dan pemulihan, penguatkuasaan, kerjasama antarabangsa dan pengurangan kemudaratan.
Katanya kementerian juga menyediakan pelan komunikasi Dasar Dadah Negara dalam menyampaikan maklumat kepada agensi terlibat untuk memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Masir berkata pelbagai program pendidikan kepada komuniti turut diadakan oleh AADK dan badan bukan kerajaan mengenai bahaya dadah, selain modul integrasi di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Seramai 702,319 orang ditangkap berkaitan kesalahan dadah dari 2014 hingga Oktober 2017, katanya.
-- BERNAMA