Perikanan Sabah Capai 100 Peratus Tahap Sara Diri
KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Sektor perikanan Sabah telah mencapai 100 peratus tahap sara diri dari segi pengeluaran ikan, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Yahya Hussin.
Beliau berkata, berdasarkan unjuran Dasar Agromakanan Negara, permintaan ke atas hasil perikanan dalam tempoh 10 tahun dijangka meningkat daripada 1.3 juta tan metrik pada 2010 kepada 1.9 juta tan metrik pada 2020.
"Sabah akan terus kekal sebagai penyumbang terpenting kepada hasil perikanan negara.
"Selain itu, hasil keluaran sektor akuakultur marin negara juga dijangka meningkat kepada 790,000 tan metrik menjelang 2020," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Selain perikanan, Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pengeluaran hasil rumpai laut, yang mana Sabah merupakan pengeluar tunggal, juga dijangka meningkat kepada 780,000 tan metrik menjelang 2020.
Bagi sektor penternakan, beliau berkata, kementeriannya akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan keselamatan bahan makanan hasilan haiwan.
Menurutnya, usaha itu termasuk menyediakan rumah penyembelihan haiwan, melesenkan rumah penyembelihan swasta dan penyediaan bilik sejuk yang mana peruntukan sebanyak RM400,000 disediakan untuk tujuan itu pada tahun depan.
Selain itu, beliau berkata, kementeriannya juga bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Universiti Putra Malaysia bagi menjalankan penyelidikan ternakan kerbau.
Yahya turut memberitahu sektor pertanian di Sabah sehingga kini bebas perosak dan penyakit utama berikutan usaha penguatkuasaan kuarantin di 18 pintu masuk di negeri ini.
Katanya, pendekatan pengakreditasian ladang bagi memastikan Amalan Pertanian Baik diterapkan dalam setiap aktiviti pertanian turut menyumbang kepada kawalan terhadap perosak dan penyakit pertanian itu.
Dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi luar bandar, Yahya berkata Koperasi Pembangunan Desa (KPD) komited meneruskan programnya di luar bandar dengan RM6.21 juta yang diperuntukkan kepada agensi itu tahun depan.
"Pendekatan melalui konsep perladangan secara kontrak dan perladangan secara perkongsian pintar merupakan strategi utama dalam pelaksanaan projek pembangunan KPD," katanya.
-- BERNAMA